Tuesday, January 13, 2009

Takkan Melayu Hilang Di Dunia..Sekadar Ungkapan?

Sebelum saya memulakan bicara, sama2lah kita berdoa agar saudara seagama kita yang sedang menderita dek kerana rakusnya rejim Zionis melancarkan peluru berpandu yang seolah sentiasa dahagakan darah warga Palestin dapat menghadapi musibah dan ujian ini dengan tabah. Sesungguhnya sesuatu yang terjadi di muka bumi ini adalah bersebab. Semoga mereka yang terkorban dicucuri rahmat di Sisi yang Maha Esa dan semoga syahid mengiringi pemergian mereka. Sesungguhnya musibah menghapuskan dosa. Saya akui bahawa saya tidak layak untuk berbicara pasal dosa dan pahala kerana ilmu di dada seumpama setitis air di lautan. Logik akal saya mengatakan sesuatu yang terjadi ada sebab dan musababnya. Ini yang membuatkan saya berfikir, mengapa umat islam Palestin di duga dan di uji sedemikian rupa? Begitu juga situasi di Iraq, dan juga umat islam di Acheh yang di landa tsunami.

Salah satu sebab kenapa Nabi dan Rasul di turunkan di kalangan bangsa Arab adalah kerana, bangsa Arab merupakan satu bangsa jahat dan jahil (maaf kerana terpaksa menggunakan perkataan ini). Contohnya, semasa pemerintahan firaun bayi lelaki dibunuh kerana mimpi si raja. Kaum kafir Quraisy juga telah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana anak perempuan bakal menyusahkan mereka kelak. Mereka juga hidup secara berpuak-puak. Itu sebelum kedatangan Islam. Malah selepas kedatangan Islam pun, masyarakat Islam Arab terus hidup berpuak-puak. Ada yang sampai ke tahap ekstrem. Keadaan ini berterusan sehinggalah ke zaman moden. Tidak hairanlah jika mereka di uji sedemikian rupa. Musuh Islam melihat kelemahan ini dan ianya memudahkan mereka untuk menelempiaskan dendam mereka terhadap kekalahan mereka dalam perang salib.

Masyarakat Islam Acheh juga mengalami keadaan yang sama. Walaupun Acheh di kenali sebagai negeri serambi Mekah dan pusat penyebaran Islam yang terkenal suatu masa dahulu. Sebelum kejadia ombak besar menghempas bumi Acheh, ektremis Acheh yang menuntut kemerdekaan dari Indonesia telah bertindak kejam dengan membunuh dan menyembelih rakyat Acheh yang tidak berdosa untuk memberi tekanan kepada pemerintahan.

Kembali kita kepada situasi yang berlaku di tanah air kita yang tercinta. Masyarakat Melayu Islam terbahagi kepada tiga-UMNO,PAS dan PKR. Cuma di Malaysia perpecahan ini masih belum mencapai tahap ekstrem yakni sanggup berbunuhan sesama sendiri. Mungkin kerana kita masih lagi mempertahankan institusi beraja. Kenapa perpecahan ini harus berlaku sedangkan peratusan Melayu sekarang sedang berada dalam tahap kritikal. Kaum lain sekarang dengan beraninya mencabar ketuanan Melayu kerana mereka telah melihat perpaduan Melayu sekarang sudah goyah dan berada pada tahap yang kritikal.

Bilakah Melayu-Melayu semua akan bersatu padu kembali? Tidakkah kita mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan Kerajaan Melaka kepada Portugis di sebabkan oleh masalah perpaduan yang berlaku di sebabkan oleh pembesar-pembesar yang hanya bertunjangkan pangkat, pengaruh dan harta.(walaupun sebab utama kejatuhan Melaka kerana peperangan yang tidak adil dari segi persenjataan) Mahukah Melayu Malaysia menginginkan nasib mereka sama seperti Melayu Singapura yang seolah-olah dinafikan hak mereka di tanah tumpah darah mereka sendiri? Melihatkan kepada perpaduan masyarakat Melayu dan keadaan muda-mudi Melayu sekarang (yang banyak dapat di temui di pusat pemulihan akhlak, pusat serenti, penjara) tidak mustahil Malaysia akan menjadi Singapura ke-2.

Enggankah Melayu-Melayu (terutama pembesar-pembesar) sekalian mengambil iktibar daripada proses menuntut kemerdekaan daripada British. Waktu itu semua rakyat bersatu padu dan bekerjasama. Bersatu teguh, bercerai roboh.Bulat air dek kerana pembentung. Peribahasa Melayu dengan jelas dan terang menuntut kita supaya bersatu padu dan bekerjasama.

Saya bukanlah mahu berlagak pandai. Siapalah diri ini untuk mempersoalkan perkara ini. Tapi hal ini sepatutnya menjadi tanggungjawab kita semua sebagai Melayu untuk mempertahankan Bangsa kita dan kedaulatannya. Ingatlah pesan Laksamana Hang Tuah, Takkan Melayu Hilang Di Dunia..

1 comment:

  1. Just nice...penulisan yang sangat sesuai untuk dijadikan ingatan kepada bangsa melayu di luar sana kerana dari pemerhatian saya bangsa melayu 'rebah' kerana 'masalah perpaduan' dalam kalangan bangsa melayu itu sendiri

    ReplyDelete